Saturday, February 13, 2016

10 - Suara siang hari

Saroja?

Saya cikgu!

Melor?

Ada cikgu!

Kuntum?

Dia berak cikgu. Sembelit agaknya. Kelas pagi tadi pun tak masuk lagi.

Cikgu Suri geleng kepala. Ini bukan pertama kali Kuntum tak masuk kelas. Baru awal tahun, baru bulan kedua tapi dah mula buat hal. Kalau pun betul sakit sekurangnya perlu maklumkan pada guru kelas atau ketua kelas. Ini tak. Hilang.

Pen dan buku kedatangan diletak ke tepi meja. Cikgu Suri bangun dan berdiri di hadapan kelas yang tak besar mana tapi masih luar kerana hanya ada 21 orang pelajar.

Hari ini kita akan bedah novel Rabun, bab ketiga. Cikgu nak kamu semua senaraikan isi penting dalam bab ini. Asmah, Hadi, Usman dan Suria bersedia untuk pementasan mini depan kelas. Cikgu nak keluar cari Kuntum sebentar ya. Jangan bising tau. Siapa bising cikgu cium-cium pipi dia. Faham?

Panjang lebar arahan diberikan. Siap dengan gimik muncung bibir nak cium-cium.

Faham cikgu Suri comel.

Jawab anak murid serentak sambil ada yang dah tersenyum-senyum, ada yang terketawa kecil dengan gaya cikgu Suri dan ada yang sedang menaruh hati terbayang kucupan mesra dari bibir merah cikgu Suri yang seksi.

Kelas ditinggalkan sementara. Misi mencari Kuntum di tandas hujung bangunan. Cikgu Suri berjalan melepasi satu persatu kelas lain. Ada yang kosong, ada yang sedang buat latihan dengan cikgu garang, ada yang acah stedi stadi sorang, ada yang dating di belakang kelas. Macam-macam perangai pelajar tingkatan 4 ni. Honeymoon year sambil boleh mula besar kepala sebab dah senior.

Lagi beberapa kaki sebelum sampai di pintu tandas perempuan, kedengaran seperti riuh di dalam tandas. Ada beberapa suara seperti sedang bersembang, bergosip dan bergurau. Cikgu Suri mencuri-curi dengar kalau namanya timbul dalam perbualan itu tapi kurang jelas. Cuma suara ketawa dan bisik-bisik sahaja yang ada. Cikgu Suri pegang tombol pintu tandas, pusing dan tolak perlahan-lahan. Jengah kepala, tak nampak sesiapa. Pintu ditolak habis. Hanya Kuntum seorang yang sedang berdiri di sinki menghadap cermin sambil tersenyum-senyum.

Meriahnya. Gosip apa tadi?
Tegur cikgu Suri dan berjalan ke arah Kuntum sambil mencari-cari pelajar lain buat meriah tadi. Tak ada siapa. Semua bilik jamban kosong.

Gosip apa cikgu?

Kuntum membalikkan persoalan kepada cikgu Suri dengan muka kekeliruan. Tak faham.

Eh tak ada apalah. Cikgu salah dengar kot tadi. Kamu cepat balik kelas. Saya dah nak mula mengajar ni.

Cikgu Suri cekak pinggang belakang Kuntum. Masih memerhati keliling tandas sambil mengimbas suara-suara yang dia dengar dari luar tadi. Macam kenal suara-suara tu dan memang ada dengar suara Kuntum sendiri bercakap-cakap dan ketawa.

Kuntum segera membetulkan tudung. Toleh kepala kiri kanan depan cermin kemudian berjalan keluar menuju ke kelas meninggalkan Cikgu Suri sendirian di dalam tandas. Tak puas hati. Siang-siang ni, suara apa? Sekali lagi Cikgu Suri periksa setiap bilik jamban, ditolak pintu habis-habis untuk kepastian kalau-kalau ada yang bersembunyi di sebalik pintu. Sah. Kuntum seorang sahaja dalam tandas tadi. Tak ada sesiapa. Rasa sejuk mula menggigit kaki cikgu Suri dan pantas memanjat naik ke perut sehingga ke tengkuk. Cepat-cepat cikgu Suri angkat kaki dan kembali ke kelas.

Kuntum sudah duduk di mejanya sambil membetulkan duduknya atas kerusi. Muka bersahaja seperti tiada apa berlaku. Mata Kuntum bersinar. Senyuman Kuntum masih melekat rapi pada bibirnya. Senyuman seperti di dalam tandas tadi.

No comments:

Post a Comment