Monday, April 29, 2013

Aku jutawan di hatimu


Megamall

Ini hari bahagia. Mungkin.
Aku punya separuh hari bersama si gadis, Tisha. Kami merayau di segenap kota, habiskan sisa minit di bawah cahaya matahari dalam taman. Menyemak di ceruk satu dua bangunan tempat masyarakat membeli-belah tapi lagaknya bagai hanya kami berdua saja yang bercicit ke sana ke mari dalam bangunan besar begitu. Bikin hati terbang.

Berjalan seiring, langkah selari, hati bersama pakatnya bila mengorak kaki. Belasan premis dilintasi tapi tak satu pun dihinggap minat untuk menyinggah. Lengan berpaut tangan, tubuh diheret tanpa belas tapi penuh kecomelan mengundang asid cemburu mata-mata lain yang melirik.


Kami ke sebuah kedai cenderahati. Masing-masing meliar mata ke seluruh inci ruang kedai, banyak barang yang sesuai bagi pasangan hangat bercinta keju. Si gadis memaku tiba-tiba dan aku terlanggar belakangnya. Sakitnya bila sanggul rambut yang dicekak walau di sebalik tudung mencucuk mata aku. Tisha hilang dari dunia buat seketika, hati berkenan benar pada sebiji mug putih berhias calitan pohon sakura warna hitam dan merah. Mug diangkat, dihalakan ke muka aku dan Tisha tersenyum. Bibir tanpa sepatah kata tapi matanya yang menyampaikan. 

“Please...”.


Aku senyum, setawarnya. 

“Kau tahukan aku sangat pokai sekarang ni?”


Senyuman Tisha tinggal bayang dalam kepala aku. Mug diletakkan kembali.
Tisha menghadap aku. Tanpa sebarang klu, dan tak sempatnya aku berpencak
Tisha terlebih dahulu mencubit isi perut aku. Pedih bapak.


“Jaro tahukan kata-kata itu doa? Mahunya termakbul doa tu nanti, satu sen pun takda. Nak sangat ke macam tu?” 

Isi perut sambil ditarik-tarik selari dengan rentak nada kata-katanya. Cubitan tak berbayang mendarat atas parut luka lama. Hanya mampu menyumpah maki dalam hati tapi aku cuba juga tersenyum bodoh yang sangat tak bermakna dalam menahan peritnya cubitan di perut. Seketika, dia lepaskan dan mengeluh. Berat. Pandangan dikitar pada deretan tudung, cukup 7 warna pelangi pelbagai corak, berhias manik bertatah batu bikin kilau bajet mengancam. Tisha berlalu sendiri, tak ajak aku pun.

Mata aku mengekor jalannya si gadis, kaki aku membatu, tangan aku kemas di perut macam qiam silat cekak. Sedaya mungkin menahan sakit. Usaha jugak aku menurut langkah si gadis dari belakang tapi menyiput. Leka sungguh si gadis dengan tudung-tudung di situ.

“Awak. Nak tahu tak? Sebenarnya saya ni kaya sangat, jutawan gila-gila.” 


Kata-kata ini hanya terpacul, meluncur macam papan selaju Tony Hawk tanpa permisi dari otak aku. Momen itu aku hanya boleh tekad terima saja reaksi balas dari Tisha. Leganya sikit bila kata-kata aku mampu mencuri perhatian si gadis dari tudung-tudung yang tak hensem di situ. Makin membuak leganya bila si gadis toleh ke aku, melirikkan senyum dan ketawa angin. 

“Haa sakit tak? Tu baru sikit.”

Malam semakin melarat. Puas berjalan, perut lapar.
Kami putuskan untuk ke kedai mamak saja. Sekadar alas perut dan minum.
Menu sama, roti canai telur dan teh ais. Perbualan kami kecil semena tumpuan lebih pada juadah walau tak seberapa. Sebentar kemudian, selesai dan sampai masa nak blah. Si gadis sekali lagi beraksi sebijik macam awal tadi.


“Awak tahu? Jutawan mana bawak duit merata-rata, bahaya.” 
Sekali lagi aku berbicara spontan.


Si gadis dengan hampir tergelak, 
“Ya lahh, Tisha belanja.”

Pak Guard Nayan



Sekolah Menengah Kebangsaan Timbun Temulang

“Hoi! Siapa tu?”

“Pak Nayan! Ini saya lah, Danis.” Tangan kanan diangkat separas muka menepis serakan cahaya dari lampu suluh Pak Nayan. Terang silau dalam gelita mampu bikin pinar pada orang kebiasaan, inikan pula mata Danis yang rabun silau. Pandang cahaya terang sikit dah mual macam mak-mak hamil.

“Lahai hang apa buat kat sini? Mengendap toyol?” Gurau tak bertapis dah jadi resam dalam diri pak cik pengawal separuh abad yang sorang ni. Tambah pulak pasal hantu, kena dengan tempat yang seram sejuk begini lagi hitam pekat isi hantu dalam gurauan. Hyperbola bertempat bak kata pengetua. Lampu suluh masih dihala ke muka Danis, saja dimain-main pada muka sambil langkah diperkecilkan dan perlahan menghampiri sisi Danis.

Saat jarak sejengkal, pantas palmar Danis menepis tangan Pak Nayan yang memegang lampu suluh. Satu tumbukan manja singgah di perut Pak Nayan tapi tak pula dielak malah disuap pula mimik muka  menganjing kelat pada Danis. Teruk betul rupanya. Melebih-lebih.
“Hish. Muka suci, rupanya kaki buli jugak orang tua nih!” Tawa terberai jua antara mereka berdua.
“Pak pocong tiri hang tak sampai mai lagi ka? Lama dah tunggu?” semakin menjadi senda sakat Pak Nayan.
“Dah dekat 10minit tunggu. Kejap lagi sampai lah kot. Bebudak kat asrama pun semua tengah kebulur ni. Malam exam week camni pulak, bersepah la zombi nak buru nasi lemak. Budak BADAR (Badan Dakwah dan Rohani) pun ada tempah jugak, buat sahur. Pak Nayan teman saya kejap boleh tak?” Danis mengatur langkah, licik berakal minta teman melepak.

“Biasaa nak. Biasaa. Upah nasi lemak dua bungkus tau hahaha.”
Giliran Pak Nayan pula menikam langkah menyusun jerat. Simpati, kasihnya pada orang muda tak surut. Sudah 17 tahun menjadi pengawal keselamatan sekolah tapi tak pernahnya dia luahkan jemu. Anak ramai tapi semua sibuk menuai harta di dunia kota, setiap tahun janji sama juga ditabur. Janji nak balik hujung bulan tapi tak juga sampai. Entah apa makna hujung bulan pada mereka. Tengah buat roket gamaknya, macam hujung bulan tu jauh sangat.

“Dua bungkus saja? Baru ingat nak bagi semua hahaha.” Pak Nayan laju angkat tangan nak menempeleng tapi Danis lagi pantas sedia menangkis. Pak Nayan turun tangan. Seraya tangan Danis turun penumbuk manja hinggap di perut Danis. Malang. Tak cukup manja. Danis tertunduk mengaduh dalam senak, perut lantas keliru antara nak kentut atau sendawa. Pak Nayan cuma tercegat tak menunjukkan sebarang emosi. Hanya menjadi annoying dengan ditari-tari sinar lampu suluh pada muka Danis.
“Buurpp!”
“Puuttt~”
Keluar dua gas serentak. Pak Nayan terbahak.

“Tudia aih. Boleh buat rekod! Takpun Ripley’s believe it or not Hahaha!” Jelas sungguh kesaitanan dalam diri Pak Nayan masa tu. Gelak sampai terduduk sambil telunjuk kanan menunjuk-nunjuk muka Danis, tangan kiri menahan senak, kejang di otot perut betis tak dihirau lalu digelak juga sampai puas. Nak mengaduh kat rumah pun boleh katanya.