Wednesday, February 17, 2016

14 - Atok dan Bapak. Mak Uda dan Dik Na.

Petang yang cerah dan masih panas.

Atok lepas asar tadi lagi dah keluar ke kebun belakang rumah. Bapak kat dapur sedang masak cucur jagung campur udang untuk minum petang. Cucur kesukaan aku. Jagung segar dari kebun atok yang dipetik pagi tadi. Banyak jugak hasil. Sebahagian dah direbus lepas petik tadi, manis betul rasanya. Sebahagian lagi bapak dah potong untuk dibuat cucur. Sebahagian yang lain disimpan dalam peti. Mungkin akan jadi bubur esok.

Aku duduk di anjung rumah kalau-kalau Mak Uda datang sambil dengar radio klasik. Bukan aku nak sangat dengar siaran ni tapi radio ni dah uzur, tak boleh nak tukar siaran. Selalunya petang-petang begini Mak Uda datang berbasikal bawa sesuatu dari kedai runcit. Ikan, ayam, daging, ketam, burung puyuh, udang yang bapak tengah masak tu pun Mak Uda yang bagi semalam. Kadang Mak Uda datang naik motor dengan cucu dia, Diana. Aku syak Mak Uda ni syok kat atok aku. Macam ya, macam tak. Aku pulak, syok kat Diana, tapi sampai sekarang aku tak bertegur lagi dengan dia. Haih.

Bapak datang dari belakang sambil bawa sebekas cucur jagung udang dan letak atas meja jepun di anjung. Tak perlu bapak cakap apa aku dah bangun cepat-cepat menuju ke dapur untuk angkat air yang dah siap di bancuh atas meja dapur. Aku cari talam perak bulat dengan corak bunga-bunga dan 5 biji cawan kaca. Susun semuanya di atas talam dan bawa ke anjung.

Buat apa cawan banyak biji sangat tu? Tegur bapak yang baru nak menyelak surat khabar.

Letak siap-siaplah kot sat lagi ada orang mai. Aku balas soalan bapak sambil jeling ke depan rumah mecari bayang tetamu yang aku harapkan. Sekali aku terperasan ada sebuah motor honda cup parkir di tepi rumah. Motor yang aku kenal, yang biasa dibonceng Diana dengan Mak Uda. Ceh. Bapak menyindir aku rupanya.

Mak Uda dah mai? Dia pi mana bapak? Aku soal bapak sambil turun tangga.

Belakang sana. Mak Uda ada bawak anak pokok nak bagi kat atok. Hang pi jemput depa mai minum sama noh. Penat hang angkut cawan lebih ni. Balas bapak masih menetapkan mata ke surat khabar.

Aku buat tak dengar sambil pakai selipar, sinting seluar sampai ke betis dan berjalan menuju ke kebun atok. Anak mata aku meliar mencari kelibat Diana dengan langkah yang masih tersusun menghala ke atok. Keliling aku pandang, tak nampak tubuh Diana, cuma nampak atok dengan Mak Uda yang sedang bersembang di pangkin.

Atok, Mak Uda, bapak panggil minum petang. Dah siap. Mak Uda dengan atok pandang aku, kemudian mereka berpandangan sesama sendiri dan tersenyum.


Bapak hang ni la. Tak boleh ka biaq aku dating sat hahaha. Hang pi panggil Dik Na sama. Dia ada kot kolam sana nun. Kata atok sambul muncungkan mulut ke kolam dan kemas barang-barang di pangkin sebelum beredar dengan Mak Uda ke rumah. Mak Uda dari tadi senyum ja. Eh, baru perasan bau wangi Mak Uda. Amboih. Pakai pewangi mahal ni. Aku biarkan. Diana. Aku nak cari Diana.


Berdebar pulak rasa. Aduh.

Sunday, February 14, 2016

13 - Benih

Ku pikulkan benih angan yang diselubungi awan
Masih kabur dari pandangan
Namun akan aku jadikan ia satu permandangan
Yang membuka hati kalian luas seperti ladangan.

12 - Ajun dah biasa

Ajun selalu tanya khabar orang. Ajun rajin beri ucapan pada orang yang dia jumpa tak kira di mana. Juruwang, pelayan, doktor, penjual, pengutip sampah, pencuci, penguatkuasa, pengemis sekalipun dia tegur.
Tapi tak ada orang nak tanya khabar Ajun. Jumpa pun cuma angguk kepala dan angkat tangan sahaja.
Ajun tak kisah.

Ajun pemurah dengan ucapan terima kasih. Dia tak kira, dia nak juga ucap terima kasih walaupun dia yang sedang permudahkan urusan orang lain. Ajun pergi kedai makan. Pelayan yang mengambil pesan, pelayan yang menghantar air dan makanan, tukang masak, juruwang, penjaga parkir, semua dia ucapkan terima kasih diikuti dengan senyuman.
Tapi tak ada siapa nak berterima kasih dengan bakti dan budi Ajun.
Ajun tak kisah.

Ajun sensitif dengan perasaan orang. Dia boleh rasa.
Kalau dia nampak orang sedih, muram, dia akan tanya, "Kau ok ke tak nih?"
Kalau dia nampak orang tersenyum, muka bersinar, mata cerah, dia akan tegur, "good day!"
Kalau dia nampak orang tengah dalam tekanan, dia tak kata apa, dia belanja orang tu minum.
Tapi tak ada siapa peduli dengan perasaan dan hati Ajun.
Ajun tak kisah.

Ajun juga ada hati, ada cinta.
Tapi cinta Ajun tak berbalas.

Tak apa. Ajun dah biasa.
Apa pun yang terjadi, Ajun tak akan berhenti dan berputus asa daripada melalui kehidupan dia dia atas dunia ini seperti yang dia angan-angankan. Dunia yang penuh kesusilaan, kehormatan dan kemanusiaan.





11 - Luna dah lama mati

Terkuburnya Luna tanpa jasad, tanpa tanah dan tanpa memori. Hanya sejarah yang tercalar dan terpalit dengan palat dikerumuni lalat si bangsat.

Namun itu semua hanyalah terhad di dalam imaginasi kepala. Haiwan peliharaan yang aku cipta. Seekor kucing berbulu hitam kebiruan, bermata hijau dan memakai cape monoton violet biru gelap. Baka Russian blue yang badass, kickass, kadang-kadang just ass. Namun Luna seekor kucing tanpa jantina yang cool. Bukan kecelaruan jantina, memang tak ada langsung the big D or the tight V. Just a regular pussy with extra ass. Imaginasi aku, lantak lah.

Luna selalu temankan aku pergi mana-mana. Makan, wayang, perpustakaan, pusat beli-belah, tasik, hatta ke tandas sekali pun. Luna ada bersama aku. Setia menemani aku tak kira bila dan di mana. Kadang Luna panjat atas kepala aku, kadang dia bertenggek di bahu aku, ikut mana dia suka.

Masa aku gembira, Luna selalu cakap,

Tak lama semua ni. Takyah enjoy sangat.

Perasaan dan sikap aku memang sentiasa mendatar sebab kata-kata Luna yang bijaksana. Bukan sebab dia mampu nampak masa depan, tapi sebab dia kenal aku dan tahu meramal perangai aku.

Dulu aku faham dan cekap dengan sarkastik sebab pengaruh Luna. Dia tak pernah senyum manis. Cuma senyum sinis, ketawa saitan atau bermuka toya. Macam Salem dalam Sabrina The Teenage Witch.

Masa aku sedang murung Luna berusaha untuk pulihkan aku. Dia tanya siapa yang buat aku hancur begini, dia nak pergi belasah. Tak padan dengan fantasi, ada hati nak menentang yang nyata. Luna kata dia mungkin tak dapat sentuh apa yang nyata, tetapi dia boleh pergi ke mana-mana saja dunia fantasi yang ada. Mimpi sesiapa sahaja. Sepak terajang orang tu dalam mimpi orang tu. Semangat betul. 

Luna. Kalau orang tanya aku kubur kau di mana, aku akan jawab bulan, bukan perkuburan memori. Aku namakan kau sempena nama bulan yang sentiasa mengorbit di sekeliling aku, Artemis, atau bumi. 

Kau temani aku dari atas sana ya, Luna. Si otak singkat.


Saturday, February 13, 2016

10 - Suara siang hari

Saroja?

Saya cikgu!

Melor?

Ada cikgu!

Kuntum?

Dia berak cikgu. Sembelit agaknya. Kelas pagi tadi pun tak masuk lagi.

Cikgu Suri geleng kepala. Ini bukan pertama kali Kuntum tak masuk kelas. Baru awal tahun, baru bulan kedua tapi dah mula buat hal. Kalau pun betul sakit sekurangnya perlu maklumkan pada guru kelas atau ketua kelas. Ini tak. Hilang.

Pen dan buku kedatangan diletak ke tepi meja. Cikgu Suri bangun dan berdiri di hadapan kelas yang tak besar mana tapi masih luar kerana hanya ada 21 orang pelajar.

Hari ini kita akan bedah novel Rabun, bab ketiga. Cikgu nak kamu semua senaraikan isi penting dalam bab ini. Asmah, Hadi, Usman dan Suria bersedia untuk pementasan mini depan kelas. Cikgu nak keluar cari Kuntum sebentar ya. Jangan bising tau. Siapa bising cikgu cium-cium pipi dia. Faham?

Panjang lebar arahan diberikan. Siap dengan gimik muncung bibir nak cium-cium.

Faham cikgu Suri comel.

Jawab anak murid serentak sambil ada yang dah tersenyum-senyum, ada yang terketawa kecil dengan gaya cikgu Suri dan ada yang sedang menaruh hati terbayang kucupan mesra dari bibir merah cikgu Suri yang seksi.

Kelas ditinggalkan sementara. Misi mencari Kuntum di tandas hujung bangunan. Cikgu Suri berjalan melepasi satu persatu kelas lain. Ada yang kosong, ada yang sedang buat latihan dengan cikgu garang, ada yang acah stedi stadi sorang, ada yang dating di belakang kelas. Macam-macam perangai pelajar tingkatan 4 ni. Honeymoon year sambil boleh mula besar kepala sebab dah senior.

Lagi beberapa kaki sebelum sampai di pintu tandas perempuan, kedengaran seperti riuh di dalam tandas. Ada beberapa suara seperti sedang bersembang, bergosip dan bergurau. Cikgu Suri mencuri-curi dengar kalau namanya timbul dalam perbualan itu tapi kurang jelas. Cuma suara ketawa dan bisik-bisik sahaja yang ada. Cikgu Suri pegang tombol pintu tandas, pusing dan tolak perlahan-lahan. Jengah kepala, tak nampak sesiapa. Pintu ditolak habis. Hanya Kuntum seorang yang sedang berdiri di sinki menghadap cermin sambil tersenyum-senyum.

Meriahnya. Gosip apa tadi?
Tegur cikgu Suri dan berjalan ke arah Kuntum sambil mencari-cari pelajar lain buat meriah tadi. Tak ada siapa. Semua bilik jamban kosong.

Gosip apa cikgu?

Kuntum membalikkan persoalan kepada cikgu Suri dengan muka kekeliruan. Tak faham.

Eh tak ada apalah. Cikgu salah dengar kot tadi. Kamu cepat balik kelas. Saya dah nak mula mengajar ni.

Cikgu Suri cekak pinggang belakang Kuntum. Masih memerhati keliling tandas sambil mengimbas suara-suara yang dia dengar dari luar tadi. Macam kenal suara-suara tu dan memang ada dengar suara Kuntum sendiri bercakap-cakap dan ketawa.

Kuntum segera membetulkan tudung. Toleh kepala kiri kanan depan cermin kemudian berjalan keluar menuju ke kelas meninggalkan Cikgu Suri sendirian di dalam tandas. Tak puas hati. Siang-siang ni, suara apa? Sekali lagi Cikgu Suri periksa setiap bilik jamban, ditolak pintu habis-habis untuk kepastian kalau-kalau ada yang bersembunyi di sebalik pintu. Sah. Kuntum seorang sahaja dalam tandas tadi. Tak ada sesiapa. Rasa sejuk mula menggigit kaki cikgu Suri dan pantas memanjat naik ke perut sehingga ke tengkuk. Cepat-cepat cikgu Suri angkat kaki dan kembali ke kelas.

Kuntum sudah duduk di mejanya sambil membetulkan duduknya atas kerusi. Muka bersahaja seperti tiada apa berlaku. Mata Kuntum bersinar. Senyuman Kuntum masih melekat rapi pada bibirnya. Senyuman seperti di dalam tandas tadi.

Salah arah

Minyak dah mahal sekarang.
Nasiblah nak bakar semangat tak perlukan api, tetapi kata-kata yang padu untuk menyuburkan jiwa-jiwa yang layu.

Namun, kata-kata yang berkesan ini tenggelam di celahan kebanjiran kata-kata lain yang nonsense. Kata-kata yang tak ada sen diangkat, kata-kata yang bernilai diletak jauh ke tepi.

Orang sekarang nak cepat. Wayang pun nak cepat klimaks, tak nak lagi meleweh. Lagu pun nak rancak, taknak lagi terbuai-buai. Cuma bermesra di ranjang yang masih kekal dengan cepat itu loser. Meh.

Semua-semua ni dah terpesong arah. Salah angkat. Salah sanjung. Semua salah.