Saturday, February 06, 2016

4 - Miji pra mengembara

Seawal 7 pagi lebih lebih Miji sudah terpacak di medan selera terminal bas menunggu seorang kenalan baru, Jun. Pagi masih awal. Bas masih tak banyak, orang belum ramai. Tak ada siapa Miji boleh perhatikan dan jadikan permainan dalam minda. Judging people.

Sebenarnya Miji sedang tak keruan. Tak tahu nak rasa apa. Tak tahu nak buat apa, dan tak tahu apa etika berkenalan dengan orang baru. Miji awkward dengan orang lain, inikan pula dengan kenalan baru. Tangan diseluk ke dalam beg silang, bungkusan rokok daun tembakau jawa dipegang. Miji berkira kira mahu balut atau tidak. Tak keruan, tak tahan.

Ey! Kau ni Miji ke?

Miji toleh kiri kanan mencari pemilik suara yang menyebut namanya. Seorang lelaki tinggi lampai berkulit putih, berambut serabai dengan pakaian ringkas berbaju tshirt dan seluar paras betis. Tersenyum menawan. Gigi pun putih. Muka bersih beriman.

Aku Jun. Junaidi. Awalnya sampai.

Jun memberikan tangan untuk bersalam. Miji masih kelu, sedang memproses untuk menghadam imej dan perwatakan seorang Jun. Sedang berfikir apa nak buat. Kaku. Yalah, selalu sangat menyendiri memerhati orang lain, judging people in silent. Lama juga Miji terdiam sampai Jun pula yang menarik sendiri tangan Miji untuk disalamkan. Miji tersentak.

Ekk... Hahaha maaf. Aku Miji. Hasmizi. Rumah memang area sini saja, senang nak sampai.

Miji terketawa ganjal. Awkward. Ketap gigi. Entah apa apa jawapan dia tadi. Rasa macam nak tampar tampar pipi sendiri.

Jom. Kita ke kedai Mak Som. Tak sabar aku nak flirt dengan Mak Som hahaha.

Jun mendahului dan diikuti Miji di belakang dengan beg galas dan kelengkapan lain. Tak pernah Miji makan di medan selera sini. Rumah dah dekat, baik makan kat rumah sambil layan movie series Supernatural, Gotham, The Flash, takpun anime. Tenang. Tak kalut dan tak serabut.

Kedai Mak Som paling hujung, paling bersih berbanding kedai kedai yang depan tadi. Miji lega, tak kecewa dengan pilihan Jun. Mereka duduk di satu meja, berdepan. Beg Miji diletakkan di kerusi sebelah dan barang barang lain di atas lantai diperhatikan Jun dalam diam. Miji dongak, bertentang anak mata dengan Jun yang berwarna coklat. Jun senyum, Miji terbatuk sambil memalingkan pandangan ke dalam kedai. Berharap sesiapa datang cepat mengambil pesanan. Miji putus kata. Memang membisu dari tadi.

Jun! Juuuun! Mama Jun datang!

Tempik seorang gadis cantik dari dalam kedai sambil melambai lambai kepada Jun. Miji sekadar diam memerhati seolah olah membuat kira kira di dalam kepala, merangka persoalan yang akan dipendam saja. Kelihatan seorang mak cik keluar dari dapur dan berjalan laju ke arah Jun dengan muka serius. Miji dah gelabah tetek, Jun tenang mengulum senyum.

Budak bertuaaah!

Telinga kanan Jun disambar dan ditarik tarik ke atas bawah kiri kanan depan belakang, semua arah selagi boleh. Dah macam konsol arked.

Adeh! Adeh! Apa ni sayaaaang?

Sayang eh?!

Telinga kiri pula ditarik tanpa dilepaskan telinga kanan tadi. Jun tak habis mengaduh tapi lebih kepada mengada-ngada sambil dibebel mak cik tu. Tanpa dihiraukan kehadiran Miji. Kelakar.

Chill la Mak Som. Baru sebulan tak datang. Kalau rindu pun jangan la marah camni. Belai elok elok hahaha

Engkau ni kalau dibelai nanti melebih pulak. Saja aku nak ajar ha. Tunggu kejap. Nasi lemak baru siap masak. Ini kawan baru ke? Tak pernah nampak lagi.

Eleh Mak Som ni. Pantang nampak laki lain terus nak tahu. Ini Miji. Baru. Dia join trip kali ni.

Miji senyum, mengangguk kepala sedikit tanda hormat. Mak Som senyum balik sambil buat isyarat tunggu sekejap dan pergi masuk ke dapur. Seketika kemudian Mak Som kembali dengan dua pinggan nasi lemak di tangan diikuti gadis tadi yang membawa talam berisi dua gelas teh o dan empat bungkus nasi lemak dalam beg plastik.

Ini bekal untuk kamu berdua. Nak jalan jauh kejap lagi ni. Makanlah ya. Mak Som nak sambung memasak ni.

Terima kasih sayang / Terima kasih Mak Som.
Jawab Jun dan Miji serentak. Mak Som hanya senyum, geleng kepala. Mak Som acah nak tarik telinga, Jun angkat tangan nak tepis. Bergurau lagi.

Selesai sarapan percuma. Enak betul. Memang tak cukup sepinggan. Nasib dah ada bungkus lebih. Mereka berjalan menuju ke kereta Perodua Myvi Jun yang diparkir tak jauh dari situ.

Amacam? Ready?

Ek...ah... Ok!

Penyakit betul Miji ni. Menjawab entah apa apa. Awkward tak habis habis. Ini baru satu jam dengan Jun. Macam mana nak survive lima hari kalau macam ni punya perangai. Hangit.

No comments:

Post a Comment