Wednesday, February 17, 2016

14 - Atok dan Bapak. Mak Uda dan Dik Na.

Petang yang cerah dan masih panas.

Atok lepas asar tadi lagi dah keluar ke kebun belakang rumah. Bapak kat dapur sedang masak cucur jagung campur udang untuk minum petang. Cucur kesukaan aku. Jagung segar dari kebun atok yang dipetik pagi tadi. Banyak jugak hasil. Sebahagian dah direbus lepas petik tadi, manis betul rasanya. Sebahagian lagi bapak dah potong untuk dibuat cucur. Sebahagian yang lain disimpan dalam peti. Mungkin akan jadi bubur esok.

Aku duduk di anjung rumah kalau-kalau Mak Uda datang sambil dengar radio klasik. Bukan aku nak sangat dengar siaran ni tapi radio ni dah uzur, tak boleh nak tukar siaran. Selalunya petang-petang begini Mak Uda datang berbasikal bawa sesuatu dari kedai runcit. Ikan, ayam, daging, ketam, burung puyuh, udang yang bapak tengah masak tu pun Mak Uda yang bagi semalam. Kadang Mak Uda datang naik motor dengan cucu dia, Diana. Aku syak Mak Uda ni syok kat atok aku. Macam ya, macam tak. Aku pulak, syok kat Diana, tapi sampai sekarang aku tak bertegur lagi dengan dia. Haih.

Bapak datang dari belakang sambil bawa sebekas cucur jagung udang dan letak atas meja jepun di anjung. Tak perlu bapak cakap apa aku dah bangun cepat-cepat menuju ke dapur untuk angkat air yang dah siap di bancuh atas meja dapur. Aku cari talam perak bulat dengan corak bunga-bunga dan 5 biji cawan kaca. Susun semuanya di atas talam dan bawa ke anjung.

Buat apa cawan banyak biji sangat tu? Tegur bapak yang baru nak menyelak surat khabar.

Letak siap-siaplah kot sat lagi ada orang mai. Aku balas soalan bapak sambil jeling ke depan rumah mecari bayang tetamu yang aku harapkan. Sekali aku terperasan ada sebuah motor honda cup parkir di tepi rumah. Motor yang aku kenal, yang biasa dibonceng Diana dengan Mak Uda. Ceh. Bapak menyindir aku rupanya.

Mak Uda dah mai? Dia pi mana bapak? Aku soal bapak sambil turun tangga.

Belakang sana. Mak Uda ada bawak anak pokok nak bagi kat atok. Hang pi jemput depa mai minum sama noh. Penat hang angkut cawan lebih ni. Balas bapak masih menetapkan mata ke surat khabar.

Aku buat tak dengar sambil pakai selipar, sinting seluar sampai ke betis dan berjalan menuju ke kebun atok. Anak mata aku meliar mencari kelibat Diana dengan langkah yang masih tersusun menghala ke atok. Keliling aku pandang, tak nampak tubuh Diana, cuma nampak atok dengan Mak Uda yang sedang bersembang di pangkin.

Atok, Mak Uda, bapak panggil minum petang. Dah siap. Mak Uda dengan atok pandang aku, kemudian mereka berpandangan sesama sendiri dan tersenyum.


Bapak hang ni la. Tak boleh ka biaq aku dating sat hahaha. Hang pi panggil Dik Na sama. Dia ada kot kolam sana nun. Kata atok sambul muncungkan mulut ke kolam dan kemas barang-barang di pangkin sebelum beredar dengan Mak Uda ke rumah. Mak Uda dari tadi senyum ja. Eh, baru perasan bau wangi Mak Uda. Amboih. Pakai pewangi mahal ni. Aku biarkan. Diana. Aku nak cari Diana.


Berdebar pulak rasa. Aduh.

Sunday, February 14, 2016

13 - Benih

Ku pikulkan benih angan yang diselubungi awan
Masih kabur dari pandangan
Namun akan aku jadikan ia satu permandangan
Yang membuka hati kalian luas seperti ladangan.

12 - Ajun dah biasa

Ajun selalu tanya khabar orang. Ajun rajin beri ucapan pada orang yang dia jumpa tak kira di mana. Juruwang, pelayan, doktor, penjual, pengutip sampah, pencuci, penguatkuasa, pengemis sekalipun dia tegur.
Tapi tak ada orang nak tanya khabar Ajun. Jumpa pun cuma angguk kepala dan angkat tangan sahaja.
Ajun tak kisah.

Ajun pemurah dengan ucapan terima kasih. Dia tak kira, dia nak juga ucap terima kasih walaupun dia yang sedang permudahkan urusan orang lain. Ajun pergi kedai makan. Pelayan yang mengambil pesan, pelayan yang menghantar air dan makanan, tukang masak, juruwang, penjaga parkir, semua dia ucapkan terima kasih diikuti dengan senyuman.
Tapi tak ada siapa nak berterima kasih dengan bakti dan budi Ajun.
Ajun tak kisah.

Ajun sensitif dengan perasaan orang. Dia boleh rasa.
Kalau dia nampak orang sedih, muram, dia akan tanya, "Kau ok ke tak nih?"
Kalau dia nampak orang tersenyum, muka bersinar, mata cerah, dia akan tegur, "good day!"
Kalau dia nampak orang tengah dalam tekanan, dia tak kata apa, dia belanja orang tu minum.
Tapi tak ada siapa peduli dengan perasaan dan hati Ajun.
Ajun tak kisah.

Ajun juga ada hati, ada cinta.
Tapi cinta Ajun tak berbalas.

Tak apa. Ajun dah biasa.
Apa pun yang terjadi, Ajun tak akan berhenti dan berputus asa daripada melalui kehidupan dia dia atas dunia ini seperti yang dia angan-angankan. Dunia yang penuh kesusilaan, kehormatan dan kemanusiaan.





11 - Luna dah lama mati

Terkuburnya Luna tanpa jasad, tanpa tanah dan tanpa memori. Hanya sejarah yang tercalar dan terpalit dengan palat dikerumuni lalat si bangsat.

Namun itu semua hanyalah terhad di dalam imaginasi kepala. Haiwan peliharaan yang aku cipta. Seekor kucing berbulu hitam kebiruan, bermata hijau dan memakai cape monoton violet biru gelap. Baka Russian blue yang badass, kickass, kadang-kadang just ass. Namun Luna seekor kucing tanpa jantina yang cool. Bukan kecelaruan jantina, memang tak ada langsung the big D or the tight V. Just a regular pussy with extra ass. Imaginasi aku, lantak lah.

Luna selalu temankan aku pergi mana-mana. Makan, wayang, perpustakaan, pusat beli-belah, tasik, hatta ke tandas sekali pun. Luna ada bersama aku. Setia menemani aku tak kira bila dan di mana. Kadang Luna panjat atas kepala aku, kadang dia bertenggek di bahu aku, ikut mana dia suka.

Masa aku gembira, Luna selalu cakap,

Tak lama semua ni. Takyah enjoy sangat.

Perasaan dan sikap aku memang sentiasa mendatar sebab kata-kata Luna yang bijaksana. Bukan sebab dia mampu nampak masa depan, tapi sebab dia kenal aku dan tahu meramal perangai aku.

Dulu aku faham dan cekap dengan sarkastik sebab pengaruh Luna. Dia tak pernah senyum manis. Cuma senyum sinis, ketawa saitan atau bermuka toya. Macam Salem dalam Sabrina The Teenage Witch.

Masa aku sedang murung Luna berusaha untuk pulihkan aku. Dia tanya siapa yang buat aku hancur begini, dia nak pergi belasah. Tak padan dengan fantasi, ada hati nak menentang yang nyata. Luna kata dia mungkin tak dapat sentuh apa yang nyata, tetapi dia boleh pergi ke mana-mana saja dunia fantasi yang ada. Mimpi sesiapa sahaja. Sepak terajang orang tu dalam mimpi orang tu. Semangat betul. 

Luna. Kalau orang tanya aku kubur kau di mana, aku akan jawab bulan, bukan perkuburan memori. Aku namakan kau sempena nama bulan yang sentiasa mengorbit di sekeliling aku, Artemis, atau bumi. 

Kau temani aku dari atas sana ya, Luna. Si otak singkat.


Saturday, February 13, 2016

10 - Suara siang hari

Saroja?

Saya cikgu!

Melor?

Ada cikgu!

Kuntum?

Dia berak cikgu. Sembelit agaknya. Kelas pagi tadi pun tak masuk lagi.

Cikgu Suri geleng kepala. Ini bukan pertama kali Kuntum tak masuk kelas. Baru awal tahun, baru bulan kedua tapi dah mula buat hal. Kalau pun betul sakit sekurangnya perlu maklumkan pada guru kelas atau ketua kelas. Ini tak. Hilang.

Pen dan buku kedatangan diletak ke tepi meja. Cikgu Suri bangun dan berdiri di hadapan kelas yang tak besar mana tapi masih luar kerana hanya ada 21 orang pelajar.

Hari ini kita akan bedah novel Rabun, bab ketiga. Cikgu nak kamu semua senaraikan isi penting dalam bab ini. Asmah, Hadi, Usman dan Suria bersedia untuk pementasan mini depan kelas. Cikgu nak keluar cari Kuntum sebentar ya. Jangan bising tau. Siapa bising cikgu cium-cium pipi dia. Faham?

Panjang lebar arahan diberikan. Siap dengan gimik muncung bibir nak cium-cium.

Faham cikgu Suri comel.

Jawab anak murid serentak sambil ada yang dah tersenyum-senyum, ada yang terketawa kecil dengan gaya cikgu Suri dan ada yang sedang menaruh hati terbayang kucupan mesra dari bibir merah cikgu Suri yang seksi.

Kelas ditinggalkan sementara. Misi mencari Kuntum di tandas hujung bangunan. Cikgu Suri berjalan melepasi satu persatu kelas lain. Ada yang kosong, ada yang sedang buat latihan dengan cikgu garang, ada yang acah stedi stadi sorang, ada yang dating di belakang kelas. Macam-macam perangai pelajar tingkatan 4 ni. Honeymoon year sambil boleh mula besar kepala sebab dah senior.

Lagi beberapa kaki sebelum sampai di pintu tandas perempuan, kedengaran seperti riuh di dalam tandas. Ada beberapa suara seperti sedang bersembang, bergosip dan bergurau. Cikgu Suri mencuri-curi dengar kalau namanya timbul dalam perbualan itu tapi kurang jelas. Cuma suara ketawa dan bisik-bisik sahaja yang ada. Cikgu Suri pegang tombol pintu tandas, pusing dan tolak perlahan-lahan. Jengah kepala, tak nampak sesiapa. Pintu ditolak habis. Hanya Kuntum seorang yang sedang berdiri di sinki menghadap cermin sambil tersenyum-senyum.

Meriahnya. Gosip apa tadi?
Tegur cikgu Suri dan berjalan ke arah Kuntum sambil mencari-cari pelajar lain buat meriah tadi. Tak ada siapa. Semua bilik jamban kosong.

Gosip apa cikgu?

Kuntum membalikkan persoalan kepada cikgu Suri dengan muka kekeliruan. Tak faham.

Eh tak ada apalah. Cikgu salah dengar kot tadi. Kamu cepat balik kelas. Saya dah nak mula mengajar ni.

Cikgu Suri cekak pinggang belakang Kuntum. Masih memerhati keliling tandas sambil mengimbas suara-suara yang dia dengar dari luar tadi. Macam kenal suara-suara tu dan memang ada dengar suara Kuntum sendiri bercakap-cakap dan ketawa.

Kuntum segera membetulkan tudung. Toleh kepala kiri kanan depan cermin kemudian berjalan keluar menuju ke kelas meninggalkan Cikgu Suri sendirian di dalam tandas. Tak puas hati. Siang-siang ni, suara apa? Sekali lagi Cikgu Suri periksa setiap bilik jamban, ditolak pintu habis-habis untuk kepastian kalau-kalau ada yang bersembunyi di sebalik pintu. Sah. Kuntum seorang sahaja dalam tandas tadi. Tak ada sesiapa. Rasa sejuk mula menggigit kaki cikgu Suri dan pantas memanjat naik ke perut sehingga ke tengkuk. Cepat-cepat cikgu Suri angkat kaki dan kembali ke kelas.

Kuntum sudah duduk di mejanya sambil membetulkan duduknya atas kerusi. Muka bersahaja seperti tiada apa berlaku. Mata Kuntum bersinar. Senyuman Kuntum masih melekat rapi pada bibirnya. Senyuman seperti di dalam tandas tadi.

Salah arah

Minyak dah mahal sekarang.
Nasiblah nak bakar semangat tak perlukan api, tetapi kata-kata yang padu untuk menyuburkan jiwa-jiwa yang layu.

Namun, kata-kata yang berkesan ini tenggelam di celahan kebanjiran kata-kata lain yang nonsense. Kata-kata yang tak ada sen diangkat, kata-kata yang bernilai diletak jauh ke tepi.

Orang sekarang nak cepat. Wayang pun nak cepat klimaks, tak nak lagi meleweh. Lagu pun nak rancak, taknak lagi terbuai-buai. Cuma bermesra di ranjang yang masih kekal dengan cepat itu loser. Meh.

Semua-semua ni dah terpesong arah. Salah angkat. Salah sanjung. Semua salah.

Wednesday, February 10, 2016

9 - Pemanah janji

"Ingat tak dulu kau pernah janji. Tak kira apa pun, kau akan cuba sedaya mungkin untuk pastikan aku bahagia. Kau masih pegang janji tu?"
-Aku panah kepala dia dengan persoalan klise. Lantak. Aku perempuan dan aku perlu tahu.
-Dia toleh kiri. Menjauhkan mukanya dari aku. Tunduk

Diam.

1 minit
2 minit
3 minit
Masih diam, lalu dia melepaskan hela nafas bersama angin yang bertiup. Kemudian dia tersenyum, kembali mencari muka aku. Manis perbuatan ni. Aku suka.

"Ingat tak dulu kau pernah janji. Tak kira apa pun, kau akan tetap berada di tepi kiri kanan dan belakang aku untuk menahan bahu aku daripada rebah sungkur, jatuh jauh daripada kehidupan kau? Aku di mana sekarang?"

-Dia mendekatkan mukanya ke muka aku sambil mencabut panahan persoalan aku tadi dan digenggam erat.
-Aku pula yang tersenyum sekarang. Ah segan.

"Hei. Bahu besar macam ni nak aku tanggung? Mana larat hahahaha."

-Kata aku sambil tujal-tujal deltoid kirinya dengan jari telunjuk.

Betul lah tu. Dia akan berusaha untuk bahagiakan aku dan aku juga akan bertahan sekuatnya untuk mengampuh dia. Bila aku suka dalam bahagia, itulah kemuncak kepada janji yang dia pegang. Aku sendiri yang akan menampan bahunya ketika lemah agar dia dapat terus berpegang pada janji itu dan menjulangnya ke atas.

Sampai syurga.

8 - Reakshit

1. Fink - If Only.mp3
2. Keaton Henson - F.R.I.E.N.D.S.mp3
3. Susie Suh x Robot Koch - Here with me.mp3
4. Bob Seger - Beautiful looser.mp3
5. Who Is Fancy - Goodbye.mp3
6. ....mp3
7. ....mp3
8. ....mp3
.. ...
.. ..
.. .

12.15 pagi
Malam. Sunyi.

Hati yang tadinya gersang tiba-tiba menjadi semakin basah. Berat dan ketat. Hanya kerana dipengaruhi beberapa trek lagu yang suram. Bersama imbasan silam dengan efek dramatik out of focus di dalam kepala.

Shit lah!
Shit! Shit! Shit! Shiiiit!!!
Shit!

Tempik Aurel tiba-tiba memeranjatkan cicak di siling yang memerhatikan mangsa untuk dicekup. Lari bertempiaran. Bersembunyi di belakang lampu floresen. Marah. Geram. Kesal. Membutir celaan dari mulut Aurel satu persatu kepada silam-silam yang hitam.

Damn it!

Aurel bingkas dari baringannya atas sofa menuju ke laptop. Butang aksara 'V' pada papan kekunci ditekan dengan kuat. Perisian winamp yang melalak tadi senyap serta merta.

Damn you! Arsehole!

Laptop pula menjadi mangsa makian Aurel. Dada berombak kencang, tangan membuku penumbuk. Masih menahan marah, pada diri sendiri. Sambil filem memori dalam kepala masih menayangkan silam yang membencikan, menyampah, dan meluat. Benci, benci, benci, benciiiiii.

6 - Senang hati

"Kau bosan?"
-Aku ajukan soal walaupun jelas raut mukanya dikepam kebosanan

"...biasa."
-Sepatah jawabnya sambil terus memerhati trafik yang lalu lalang di bawah

"Nak terjun?"
-Terpacul dari mulut aku tanpa tapisan akal

"Tak... Aku belum puas susahkan hidup kau."
-Sengih. Kacak sekelip mata. Hilang kelat yang berlapis-lapis di mukanya tadi.

"Alaa baru nak ikut sama."
-Kali ni aku bergurau.

"Nak??"
-Dia toleh ke aku. Mukanya masih biasa walaupun intonasinya tadi serius.

"Taklah... Aku masih belum puas senangkan kau."
-Aku olah jawapan dia tadi sebab putus akal. Struggle nak hidupkan perbualan. Taknak awkward.

Rooftop. Tak kisah mana-mana asalkan tinggi. Lagi tinggi lagi dia suka. Dah jadi tempat untuk aku dan dia untuk memburu tenang. Berbual dan belit-belit lidah sehingga terbenam mentari.

Tuesday, February 09, 2016

7 - Bermalam di dreamland

Hujung minggu lepas. Dia call aku ajak dating. Aku agak terkejut bukan sebab dia ajak dating tu tapi sebab dia call. Orang jenis yang sangat cuak dengan panggilan telefon. Gelabah melampau, tak pernah jawab atau buat sebarang panggilan telefon.

Selama ni pun dia kontek aku cuma dengan  sms. Oldschool. Aku sendiri pulak yang seriau. Mula-mula bila terpandang ada panggilan dari dia aku jadi macam apahal mamat ni? Lepas tu aku resah sebab takut sesuatu yang buruk berlaku.

Bila dia cakap nak dating tu aku faham. Tak ada perkara manis-manis, manja-manja atau adegan gedik-gedik tak cukup iman, dia cuma perlukan teman. Aku rasa aku kena friendzone dengan dia. Takpun lagi parah, bro-zone. What the heck hahaha.
Aku stedi, sebab dia cool.

Perbulaan tak panjang. Sepatah-sepatah macam budak baru belajar bercakap. Dia ajak aku lepak dreamland (baca: perpustakaan negeri). Tempat selesa yang kedua selepas rooftop. Ini bukan hari pertama tapi tahun ketiga aku teman dia ke dreamland ni. Lepak dari pagi sampai malam. Keluar cuma untuk makan atau sekejap-sekajap untuk mengambil dos nikotin harian.

Dalam perpustakaan, dia suka lepak dia bahagian sains. Betul-betul lepak di situ. Duduk melunjur di celahan rak buku, macam rumah dia sendiri. Macam ayam buat sarang. Selesa betul aku tengok dia duduk situ. Capai satu buku, selak, lalu tenggelam ke lautan tulisan dan grafik. Aku bersama duduk macam dia, bertentangan.

"Oi gemuk! Dengar tak aku cakap ni?"
-Senyap. Aku sepak sikit kaki dia. Seronok jadi setan kacau orang yang sedang khusyuk ni.

"Apa?"
-Dia angkat kepala. Muka annoyed.

"Malam ni aku balik rumah kau ya."
-Aku tindih lutut aku atas lutut dia. Acah mesra.

"Tak ada apa kat rumah aku."
-Dia tunduk meneliti grafik galaksi di buku sebelum menjawab.

"Tapi ada kau...cukuplah."
-Aku pujuk. Mengharap dia mengalah.

"...tapi aku rasa nak bermalam di sini."
-Selak muka surat. Selamba. Macam bersungguh, macam tak.

"Boleh juga."
-Aku main permainan dia. Saja mahu tengok apa reaksi.

"Hmm... Okay."
-Dia terkaku sekejap sebelum memberi jawapan. Jeling ke aku, kemudian sambung membaca.

Malam tu sungguh-sungguh tidur dalam perpustakaan. For real. Realiti. Serius.

Bermalam di dalam perpustakaan. Secara illegal. Tak pernah mimpi aku nak buat macam ni. Rupanya dia dah pernah buat berkali-kali sebelum ni sebab malas nak balik rumah. Cibai betul aku kata. Patutlah rilek semacam saja.

Pagi esoknya pekena nasi lemak dengan roti canai banjir kari ikan campur daging campur dhal. Gerai sebelah perpustakaan. Inesen habis muka masa jamah sarapan ni.

Monday, February 08, 2016

5 - Kritikal

Kau tahu kau sedang bosan apabila kau sudah habiskan masa lebih satu jam di laman sosial dan kau tekan butang refresh berkali-kali dan perkara sama sahaja yang timbul.

Kau tahu kau sedang bosan apabila hidup kau adalah alam maya sahaja dan kau sudah tak tahu nak godek apa lagi di dalam internet biarpun itulah antara alam yang tiada batasan. Kau termenung laman carian Google yang hanya tertera logo Google, yang kau tak pernah ketik pada kotak I'm feeling lucky.

Kau rasa bosan, tetapi kau masih rasa selesa dengan keadaan hidup kau yang pathetic. Malah kau merasakan terlalu selesa untuk bergerak, bertindak, bangun untuk melakukan sesuatu yang baru.

Terperuk. Terkurung.
Salah.

Sendiri yang mengurung diri sendiri. Dunia luar bukanlah hidup kau tetapi fantasi. Kau tertanya-tanya, ke mana hilang fantasi indah berwarna-warni, berbunga-bunga dan penuh aksi zaman kanak-kanak kau dulu? Apa yang silap semasa aku perlahan-lahan membesar sehingga hilang semua tu?

Mungkin tak ada apa yang silap. Cuma atmosfera dan gasnya yang meracuni jiwa kau. Memberi barah realiti kehidupan melalui toksid yang diserap oleh kesemua sembilan deria-deria kau.

Kau perlukan rawatan. Kecemasan.
Segera diapung-apungkan.

Saturday, February 06, 2016

4 - Miji pra mengembara

Seawal 7 pagi lebih lebih Miji sudah terpacak di medan selera terminal bas menunggu seorang kenalan baru, Jun. Pagi masih awal. Bas masih tak banyak, orang belum ramai. Tak ada siapa Miji boleh perhatikan dan jadikan permainan dalam minda. Judging people.

Sebenarnya Miji sedang tak keruan. Tak tahu nak rasa apa. Tak tahu nak buat apa, dan tak tahu apa etika berkenalan dengan orang baru. Miji awkward dengan orang lain, inikan pula dengan kenalan baru. Tangan diseluk ke dalam beg silang, bungkusan rokok daun tembakau jawa dipegang. Miji berkira kira mahu balut atau tidak. Tak keruan, tak tahan.

Ey! Kau ni Miji ke?

Miji toleh kiri kanan mencari pemilik suara yang menyebut namanya. Seorang lelaki tinggi lampai berkulit putih, berambut serabai dengan pakaian ringkas berbaju tshirt dan seluar paras betis. Tersenyum menawan. Gigi pun putih. Muka bersih beriman.

Aku Jun. Junaidi. Awalnya sampai.

Jun memberikan tangan untuk bersalam. Miji masih kelu, sedang memproses untuk menghadam imej dan perwatakan seorang Jun. Sedang berfikir apa nak buat. Kaku. Yalah, selalu sangat menyendiri memerhati orang lain, judging people in silent. Lama juga Miji terdiam sampai Jun pula yang menarik sendiri tangan Miji untuk disalamkan. Miji tersentak.

Ekk... Hahaha maaf. Aku Miji. Hasmizi. Rumah memang area sini saja, senang nak sampai.

Miji terketawa ganjal. Awkward. Ketap gigi. Entah apa apa jawapan dia tadi. Rasa macam nak tampar tampar pipi sendiri.

Jom. Kita ke kedai Mak Som. Tak sabar aku nak flirt dengan Mak Som hahaha.

Jun mendahului dan diikuti Miji di belakang dengan beg galas dan kelengkapan lain. Tak pernah Miji makan di medan selera sini. Rumah dah dekat, baik makan kat rumah sambil layan movie series Supernatural, Gotham, The Flash, takpun anime. Tenang. Tak kalut dan tak serabut.

Kedai Mak Som paling hujung, paling bersih berbanding kedai kedai yang depan tadi. Miji lega, tak kecewa dengan pilihan Jun. Mereka duduk di satu meja, berdepan. Beg Miji diletakkan di kerusi sebelah dan barang barang lain di atas lantai diperhatikan Jun dalam diam. Miji dongak, bertentang anak mata dengan Jun yang berwarna coklat. Jun senyum, Miji terbatuk sambil memalingkan pandangan ke dalam kedai. Berharap sesiapa datang cepat mengambil pesanan. Miji putus kata. Memang membisu dari tadi.

Jun! Juuuun! Mama Jun datang!

Tempik seorang gadis cantik dari dalam kedai sambil melambai lambai kepada Jun. Miji sekadar diam memerhati seolah olah membuat kira kira di dalam kepala, merangka persoalan yang akan dipendam saja. Kelihatan seorang mak cik keluar dari dapur dan berjalan laju ke arah Jun dengan muka serius. Miji dah gelabah tetek, Jun tenang mengulum senyum.

Budak bertuaaah!

Telinga kanan Jun disambar dan ditarik tarik ke atas bawah kiri kanan depan belakang, semua arah selagi boleh. Dah macam konsol arked.

Adeh! Adeh! Apa ni sayaaaang?

Sayang eh?!

Telinga kiri pula ditarik tanpa dilepaskan telinga kanan tadi. Jun tak habis mengaduh tapi lebih kepada mengada-ngada sambil dibebel mak cik tu. Tanpa dihiraukan kehadiran Miji. Kelakar.

Chill la Mak Som. Baru sebulan tak datang. Kalau rindu pun jangan la marah camni. Belai elok elok hahaha

Engkau ni kalau dibelai nanti melebih pulak. Saja aku nak ajar ha. Tunggu kejap. Nasi lemak baru siap masak. Ini kawan baru ke? Tak pernah nampak lagi.

Eleh Mak Som ni. Pantang nampak laki lain terus nak tahu. Ini Miji. Baru. Dia join trip kali ni.

Miji senyum, mengangguk kepala sedikit tanda hormat. Mak Som senyum balik sambil buat isyarat tunggu sekejap dan pergi masuk ke dapur. Seketika kemudian Mak Som kembali dengan dua pinggan nasi lemak di tangan diikuti gadis tadi yang membawa talam berisi dua gelas teh o dan empat bungkus nasi lemak dalam beg plastik.

Ini bekal untuk kamu berdua. Nak jalan jauh kejap lagi ni. Makanlah ya. Mak Som nak sambung memasak ni.

Terima kasih sayang / Terima kasih Mak Som.
Jawab Jun dan Miji serentak. Mak Som hanya senyum, geleng kepala. Mak Som acah nak tarik telinga, Jun angkat tangan nak tepis. Bergurau lagi.

Selesai sarapan percuma. Enak betul. Memang tak cukup sepinggan. Nasib dah ada bungkus lebih. Mereka berjalan menuju ke kereta Perodua Myvi Jun yang diparkir tak jauh dari situ.

Amacam? Ready?

Ek...ah... Ok!

Penyakit betul Miji ni. Menjawab entah apa apa. Awkward tak habis habis. Ini baru satu jam dengan Jun. Macam mana nak survive lima hari kalau macam ni punya perangai. Hangit.

3 - Miji tekad

Tekad.

Dua minggu Miji buat persiapan untuk ke hutan. Sediakan semua kelengkapan daripada kosong. Sebab Miji belum pernah masuk hutan berhari hari. Masa sekolah dulu adalah juga buat jungle tracking, dah dewasa ni masuk hutan pun sebab nak mandi air terjun. Tapi lebih kepada memerhati orang ramai yang bermandi manda di air terjun sebenarnya. Orang dewasa, kanak kanak, lelaki, perempuan dan wanita. Semua dalam perhatian Miji. Suka suka.

Checklist diteliti butiran satu persatu. Ini pun ambil daripada internet dan tips daripada youtube. Malah barang barang juga kebanyakkannya Miji beli secara atas talian. Semua pun barang barang second hand tapi baik. Jenama luar negara yang tak pernah dengar, tak pernah jumpa. Miji bukan kaki gunung nak beli barang baru. Janji ada.

Ahh nervous pulak rasa. Esok dah nak jalan ni.

Miji rasa tak sedap. Perut memulas. Ulu hati pedih. Kompas emosi berpusing pusing tak ada arah. Miji keluar ke halaman rumah, balut rokok daun tembakau jawa. Khusyuk. Fuh fuh fuh. Nikmat. Tenang. Gelisah terbang pergi bersama asap yang dihembus.

Hello, Jun. Esok nak jumpa kat mana?

Hai Miji. Kita jumpa kat terminal yang kau selalu lepak tu. 8 pagi. Sarapan dulu. Situ ada nasi lemak sedap. Nak pekena dulu sekali sebelum naik atas. Sana tak ada nasi lemak. Buatnya dok teringat nanti haa meroyan hahaha.

Ok. Aku tunggu sana.

Ramah betul Jun ni. Kenal tak sangat, rapat apatah lagi. Jumpa pun tak pernah. Baru dua minggu lepas fren kat facebook. Itu pun sebab dia tengah cari orang siapa siapa nak join trip hiking esok. Dia cari dalam 15 orang saja. Separuh memang orang lama dan kaki gunung, lagi separuh rookie, macam Miji.

Esok. Pengalaman baru. Kehidupan baru. Memori baru. Suasana baru. Kawan kawan baru.

2 - Miji

Ramai betul orang hari ni.
Miji memerhatikan sekeliling sambil menggulung rokok daun dengan tembakau jawa. Tembakau diracik racik, daun disiat siat sehingga nipis untuk mendapatkan rasa yang pure dan lembut. Nikmat. Miji kepitkan di bibir, pusing pusing dan bakar. Fuh fuh fuh berkepul kepul asap keluar dari hidung dan mulut Miji. Dah macam puaka dibacakan yasiin malam Jumaat.
Bas keluar masuk dari terminal. Penumpang turun naik. Miji membetulkan duduknya agar lebih selesa untuk meneruskan rutin. Tak ada apa. Sekadar duduk di satu tempat sambil memerhatikan sekeliling. Miji suka perhatikan manusia lain tapi setakat menjadi pemerhati, tak mahu ada sebarang hubung kait.
Miji toleh kanan. Ada sekumpulan perempuan muda di satu tempat. Penuntut universiti tagak Miji. Cantik semuanya. Yang muslimah, yang freehair bercampur sekali tanpa perlu jadi skeptikal.
Miji toleh kiri. Ada pula sekumpulan pekerja warga asing. Ada kulit hitam, ada kulit putih, ada yang sawa matang macam Miji. Mereka pun isap rokok daun macam Miji cuma tembakau saja lain. Bau pun dah tahu Cap ayam, sebungkus 80 sen. Tak macam tembakau jawa Miji, sebungkus 2 ringgit.
Bas keluar masuk dari terminal. Penumpang turun naik bas. Dan Miji masih lagi sedang menghakimi sekumpulan pekerja asing. Macam nak benci. Macam taknak peduli. Serabut pula rasa.
Ahh lantak.
Miji padam bara rokok dan buangkan baki rokok daun ke dalam tong sampah. Satu satunya perlakuan yang Miji bangga. Berbuat baik pada alam.
Mungkin aku patut masuk ke hutan. Berdakapan dengan alam.

Friday, February 05, 2016

1 - Kuntum

Jumaat yang terik walaupun masih pagi.
Kuntum terbaring di atas tilam. Terselak baju tidur paras lututnya sehingga ke peha yang gebu putih mulus. Licin. Mengiurkan. Rambut panjang berselarak di atas bantal dan menutup sebahagian mukanya. Badan taklah besar mana. Tak tinggi dan tak rendah. Orang tak kenal, tak popular biarpun cantik. Mungkin kerana nama ini layaknya berkubur di dalam kapsul masa kemudian dilupakan terus. Terlalu asing bagi orang zaman sekarang. Mungkin juga kerana personaliti Kuntum sendiri.
Nada dering dari soundtrack filem The Godfather berbunyi. Kuntum bangun mengejut terduduk. Toleh kiri, toleh kanan. Habis semua bantal dilambung, selimut dicampak, tak jumpa mana telefon. Kuntum kaku sekejap kemudian tersenyum apabila terperasan telefon pintarnya terselit di dalam baju dalam.
1 panggilan tak dijawab.
Alamak. Kuntum bingkas berlari ke ruang hadapan dan buka pintu. Tak ada sesiapa di luar.
1 mesej diterima.
"Maaf Kat. Aku kena cepat ni. Aku kena pergi dari sini. Ada barang untuk kau, aku letak dalam peti surat. Maafkan aku Kat."
Kuntum kehairanan tetapi tersenyum. Dah macam drama tivi rasanya. Sambil berjalan ke peti surat Kuntum menggodek notifikasi telefon. Whatsapp, facebook, twitter, 9gag, 17 pending updates, sepintas lalu sahaja. Kuntum pandang keliling kalau kalau ada jiran yang mengintai pehanya, dia nak angkat jari tengah. Sepi. Tak ada mangsa nak dijari tengahkan. Kuntum toleh ke pagar. Peti surat cuma tinggal serpihan rangka yang terikat pada pagar. Mencarut pulak dalam hati. Bedebah, celaka, anak haram, barua apa segala melintas pantas. Saki baki peti surat yang lain berselerak di atas jalan. Bersama satu pendrive. Tertulis nama Kuntum di atasnya.
#########################
Hari ini, Jumaat, 5 Febuari 2016. Masuk hari ke 147 Kuntum menjadi pelarian. Berlari ke sana sini di dalam tanah air sendiri. Melarikan diri kerana diasak keadaan dan situasi. Melarikan diri daripada sekumpulan manusia yang Kuntum sendiri tak tahu siapa, kerana apa.
Mereka di mana mana.
Kuntum sentiasa diburu.
Tolong. Tolonglah Kuntum.
Tak ada jalan keluar. Tak berdaya lagi.
Kerana tak siapa pun percaya kata kata Kuntum.
Macam kau, yang membaca kisah Kuntum ini.