Tuesday, February 05, 2013

Jaro


Jab, jab, right hook.
Jaro masih belum puas. Gilanya datang balik. Walaupun sudah lima kali jutsu kombo kegemarannya itu dilayangkan ke sebuah punching beg. Peluh semakin renik di segenap tubuh, dengan baju pejabat yang belum sempat dilucutkan. Amarah shaiton dalam diri masih belum dapat dijinakkan. Namun Jaro terpaksa akur pada tubuh, tunduk sambil kepala menggeleng-geleng mencari nyawa. Semput.

“Hampeh! Baru tinggal tiga hari dah bikin semput.” Kedua-dua tangan Jaro menapak pada kepala lutut. Oksigen dan karbon dioksida berselisih ganti mengharung trakea untuk ke alveolus di segenap paru.

Tubuh diundur, langkah diatur dua tiga ke belakang mendepang ruang. Jaro melucutkan satu persatu. Jaket mahal, tali leher, kemeja, jam Casio dan singlet hitam. Susuk tubuhnya dilingkar tiga empat jenis parut di tempat lain-lain dengan terselit pelbagai kisah yang malas diungkit, dibiar tertanam bersama di sebalik parut. Satu persatu parut berbalur dilayari jari jemari mulus, nafas semakin kencang tak semena. Jaro mendengus macam bison gila darah lantas mencapai sepasang sarung tangan tinju yang tergantung dan disarung kemas pada tangan. Penumbuk digenggam kemas, punching beg digodam lagi ibarat meteor menghentam bumi.

Royan Jaro tiba-tiba ditarik dengan deringan semakfon yang hanya kedengaran sayup dari poket jaket mahal. Satu mesej diterima, turut tertera nama Tisha pada skrin. Hati yang dirodok dendam amaratu bissuk kini beralas permaidani flora. Jari Jaro menari dengan cekap selincah kougar pada muka skrin semakfon sambil wajah keayuan  Tisha bermain-main di kotak imagi.

“Malam ni pukul 8, tempat luar biasa. Kau tahu kan?”
Mesej ni bikin kerut pada dahi luas Jaro yang licin dan bebas cemar gerutu jerawat. Dia gumam menggali lubang memori sambil merungkai klu pada mesej ringkas Tisha. Tapi macam tak sampai.
Tempat luar biasa mana yang kau maksudkan ini? Baru lima kali kita keluar sekali bersemuka setelah 15 tahun hilang khabar dan setiap kali pun berjumpa di tempat lain-lain.

“Aaah! Setan la kau ni Tisha. Selalu buat aku macam ni.” Monolog Jaro sendirian sambil tepuk dahi dengan tapak tangan yang masih bersarung. Tak semena-mena lagi satu mesej dari Tisha meluncur ke semakfon Jaro.

“Annoying tak? Hehe Kita lepak medan lah malam ni. I kepingin Char kueytiaw.”
Jaro tersengih kerang macam dia sorang saja yang terer sengih dalam dunia ni. Saat itu hati kembang tak tawar mengalahkan gula yang memikat segala serangga dari dunia hobbit untuk turut gedik mencuit .

No comments:

Post a Comment