Friday, December 28, 2012

Pak cik adiwira biola




Cuti panjang, kenduri kahwin merata-rata.

Semalam aku menjadi driver mak aku, kami berdua ke kenduri di Kangar. Jauh perjalanan tapi pertalian kami dengan tuan kenduri, dekat.

Hampir 2jam perjalanan, kami tiba di lokasi rumah kenduri. Tapi mana rumah kenduri? Kiri kanan jalan penuh kereta parking, dari sekecil-kecil kereta sampai sebesar-besar dan mewah. Sebelah jalan hanya sawah padi yang masih menghijau. 
Orang ramai. Jalan sesak. Susah nak parking kereta.
Mujur ada adik-adik JKJR disitu membuka jalan ke tempat parking. 

Pelik. Orang sangat ramai tapi sunyi. Kami berjalan mencari rumah kenduri. Ternampak orang tak putus keluar masuk dari satu lorong kecil yang dihimpit antara kedai makan dan carwash. Kami terjah.

Dalam lorong kecil pun dah macam pasar malam. Ramai. Sambil berjalan aku nampak banglo tuan rumah, ada 10 khemah tetamu, 2 khemah DJ, 1 khemah kumpulan ghazal Perlis.
Meriah.

Makanan pelbagai. Rojak, koey teow goreng, teh tarik, keli bakar, ayam golek, laksa.
Air variasi. Sirap selasih, laici, teh bunga, mata kucing, oren, anggur, cincau.

Aku tak fikir banyak, nak layan perut lapar dulu. Aku tak hirau pun orang ramai, bising. Malah takda seorang pun yang aku kenal. Rasa terasing. Aku beratur di dapur koey teow goreng. Aku tenung brader yang menggoreng tu tanpa belas kasihan. Tak henti tangan kiri kanan dia tergawang sana sini kaut kerang, raih taugeh, sambar kicap, cili dan minyak. Aku senyum, tapi tak berbalas. Dendam, tapi koey teow tetap jugak fevret aku. Sabar. Mungkin brader tu penat, fikir benda lain.

Aku makan semeja dengan orang yang asing. Aku senyum, mereka senyum. Masing-masing dengan juadah tersendiri, layan perasaan, layan tekak, jamu perut.

Tengah makan, aku dengar gesekan biola dari speaker besar di khemah ghazal.
Merdu. 
Pakcik tua berkacamata, segak berbaju batik emas dan seluar hitam dengan kasut hitam yang bersilau. Penuh perasaan.
Aku tergerak dengan gesekan biola si pak cik. Cepat-cepat aku sudahkan makan, aku gegas ke depan khemah ghazal. Aku capai kerusi dan duduk menghadap sembah tepat ke arah pak cik yang bermain biola. Aku tak hiraukan penyanyi, aku tak kisahkan pemain rebana, aku tak layan pemain gong. Aku nampak pemain biola.

Aku tak kisah dengan orang ramai. Malas nak layan.
Sikap introvert kembali mengawal diriku. 
Indah, merdu sangat pak cik tu bermain biola. Lagu Melayu asli klasik, hindustan, arab, semua dia pukul. Semua sedap.
Sejam aku terbazir, hanya memerhati jari jemari pak cik tu menari di leher biola.

Aku ingin menjadi pemain biola. Detik hati kecil. Itu mustahil, balas otak malasku.

Haih... andai aku dilahirkan sebagai seniman

No comments:

Post a Comment