Di atas dataran yang gersang
Terbaring jasad kaku
Terleka menerawang dibelai alam
Minda dilepas
Biar bebas mengembara
Menerobos setiap aras silam
Merungkai serba satu kisah
Pahit – manis
Terang – gelam
Bebas – kongkong
Namun tersentak kala pipi dikuis titis hujan
Tangisan dari langit menyata simpati pada hati
“Janganlah bersedih. Kau menangis, aku ikut menangis.”
Langit terus cuba memujuk hati
Hujan berganti gerimis dihiasi bias pelangi
“Kau memang suka buatkan aku jadi terharu, kan?”
Sesekali dedaunan gugur dari pohon
Lalu menepuk mesra ke pundak
Dan seketika aku dipukul sebak
“Bertabahlah. Bertahanlah wahai raga.”
Petang aku berlalu dengan suram
Dalam pelukan angin dari semua arah
Nyaman bayu mencengkam setiap alveolus
Lantas apa yang berat berubah ringan
Dengan izin dia menerbangkan segala bimbangku
Segalanya
Senja mencelah dengan jelita
Perlahan bayang bulan menyusur di dada langit
Dengan purnama ceria yang menenangkan
Perlahan juga matahari melewati kaki langit
Dengan sinar lemah yang suam mengelus dermis
Aku kembali senang. Tenang.
Murni lakumu padaku wahai alam
“Apa layaknya aku dilayan sebegini olehmu?”
“Bertenanglah duhai hati. Sudah puas kami memerhati.
Sepasang alis yang tak henti basah bertangis kerana sikap
segelintir celaka yang membinasakan kami.
Sekelumit hati pencinta yang kontang jemu membela tuju kami.
Bermanjalah dengan kami semahunya. Bila saja kau pinginkan.
Kerana engkau sangat berhak.”
-Acso-
No comments:
Post a Comment